SK LONG PELUTAN (YBA 4304)Baram, Sarawak

Anugerah Tawaran Baru (NKRA) Tahun 2010
Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Pedalaman Tahun 2009

Selamat Datang Ke Laman SK Long Pelutan

Sekolah Kebangsaan Long Pelutan antara sekolah rendah yang berada di Zon Baram Tengah. Sekolah ini adalah sekolah 100% murid Kaum Penan. Ketersampaian ke sekolah ini adalah melalui kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang memakan masa lebih kurang 7 jam dari bandar Miri. Sekolah ini telah memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC) Kategori Pedalaman Tahun 2009.

Pada tahun 2009, sekolah ini mempunyai 12 orang guru dan 5 staf AKS serta 70 orang murid. Sekolah ini juga merupakan sekolah rendah berasrama yang menempatkan semua murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di asrama.

Hari Sukan Sekolah & PIBG

Hari sukan sekolah SK Long Pelutan telah diadakan pada 9hb Oktober 2009 bertempat di padang sekolah. Acara ini telah dirasmikan oleh Cikgu Raymond Kalang Jok selaku Guru Besar SK Long Pelutan. Antara acara yang telah dipertandingkan sebelum Hari Sukan ini adalah Lompat Tinggi, Lompat Jauh dan Lontar Peluru. Manakala acara yang dipertandingkan semasa Hari Sukan adalah acara olahraga seperti 60 meter, 100 meter, 200 meter, 4 X 100 meter dan 4 X 200 meter. 

Acara sukaneka juga dijalankan untuk murid Tahun 1 dan 2 serta staf dan para ibu bapa seperti Tiup Tepung, Tiup Belon, Gelung, Lari Ikat Kaki dan acara 4 X 100 meter.

Hari Sukan SK Long Pelutan dimulakan dengan upacara lintas hormat setiap kontijen rumah sukan iaitu Rumah Asen, Rumah Tepen dan Rumah Lunyim.  Seterusnya diadakan upacara bacaan ikrar dan larian obor sukan.

Rumah Asen telah menjuarai Hari Sukan Sekolah 2009 dengan pungutan emas tertinggi, diikuti Rumah Tepen dan Rumah Lunyim.

Jackery Basing dan Vellen Tina dari Rumah Asen masing-masing telah diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sekolah bagi tahun 2009.

Gambar-gambar pertandingan boleh dilihat di Galeri Gambar

Pesta Sukan MSSR Zon Baram Tengah 2009

Pada 22hb Oktober 2009, Pesta Sukan MSSR Zon Baram Tengah (ZBT) 2009 telah berlangsung selama 4 hari bertempat di SK Long Miri.Pelbagai acara telah berlangsung sepanjang pesta sukan tersebut seperti acara padang, acara balapan, permainan dan akademik. 

Seramai 35 murid SK Long Pelutan telah menyertai pesta sukan ini yang diiringi oleh 11 orang guru. Kontijen SK Long Pelutan telah memperolehi tempat kedua keseluruhan di belakang SK Ubong Imang dan manakala tempat ketiga telah dimenangi oleh SK Long Naah. Syabas diucapkan kepada semua murid yang telah bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama SK Long Pelutan di Zon Baram Tengah.

Tidak lupa juga setinggi-tinggi terima kasih kepada tuan rumah iaitu SK Long Miri yang telah menyediakan tempat penginapan kepada kontijen SK Long Pelutan sepanjang berlangsungnya kejohanan ini.

Gambar-gambar kejohanan boleh dilihat di Galeri Gambar

UPSR 2009: Satu Lagi Catatan Sejarah Dilakar

 

Keputusan UPSR 2009 telah diumumkan dan SK Long Pelutan telah melakar satu sejarah kerana telah menghasilkan dua orang murid yang mencapai keputusan 5A dalam UPSR iaitu Adik Looser Datu dan Adik Francisca Unyang. Keputusan keseluruhan pula telah meningkat dari 75% pada tahun 2008 kepada 90% pada tahun ini. Terima kasih atas usaha murid dan staf SK Long Pelutan yang telah berganding bahu berusaha untuk mencapai keputusan yang amat baik. Ini telah membuktikan bahawa murid Penan juga mampu mencapai keputusan 5A serta dapat bersaing dengan murid kaum lain di Malaysia khasnya di Sarawak. Tahniah kepada murid Tahun 6 SK Long Pelutan atas pencapaian anda!